Wednesday, 21 November 2012

Susah Senang Bersama

Bersyukur dengan apa yang ada. Itulah harga yang perlu dibayar apabila setelah sebulat hati menerima ketentuan Ilahi. Jangan pernah mengeluh, menyesal atau berburuk sangka.

Namun, apa yang sering berlaku adalah berbeza. Sebelum melalui alam perkahwinan, kita dan pasangan sama-sama berjanji saling menerima kekurangan diri. Malah, kita sama-sama bertekad akan saling berusaha mencari rezeki.

Selepas beberapa lama meniti rumahtangga yang penuh dengan ujian, semangat kita seolah-olah diragut perlahan-lahan sehingga kita menjadi lemah. Kita asyik memikirkan perkara yang negatif tentang takdir hidup. Kita lupa untuk mencipta semula kekuatan bersama pasangan.

Saya masih ingat ketika bakal menempuh alam rumahtangga bersama suami. Begitu juga kami berjanji. Walau ada yang menasihati kami supaya mempertimbangkan semula keputusan untuk bernikah. Kami tekad!

Mendengar sahaja angka kecil pada gaji kami, pastilah ada yang berkata,

"Cukupkah suami kau nak sara hidup kau dengan anak-anak nanti? Jangan kau pula yang mengganti tugasnya sudah. Orang kahwin sebab nak senang, bukan nak cari susah!"

Saya tidak langsung goyah dengan kata-kata pedas itu. Saya tekad!

Ya, saya bukan orang senang. Saya lahir dalam keluarga miskin. Namun, mak dan abah menyediakan semua keperluan saya dengan secukupnya.

Walau bukan makanan mewah, saya tidak pernah kelaparan. Walau rumah kecil, bumbungnya tidak pernah bocor dimasuki hujan, diterjah kepanasan.

Itu mengajar saya rezeki Allah amat luas.

Mungkin bagi mereka yang melalui hidup susah semasa kecil menanam impian untuk menjadi orang senang dan kaya apabila dewasa. Tetapi, itu tiada pada diri saya. Sekelumit pun tiada.

"Pelik dengan orang seperti kau ni. Bila dah pernah hidup susah, perlulah fikir bagaimana nak menjadikan masa depan nanti hidup kau senang dan kaya!"

"Kalau susah sangat nak kaya, kau cari saja lelaki kaya. Bukankah senang hidup kau dan anak-anak nanti? Cinta tak mampu beri bahagia jika kau selalu tertekan kerana miskin!"

Katalah apa saja. Saya bukan tiada wawasan untuk mengubah hidup menjadi orang kaya tetapi...itu tidak pernah menjadi impian saya. Mungkin kerana saya takut untuk menjadi orang kaya. Kerana takut saya hanyut dengan kesenangan.

Perkahwinan mengajar saya. Ibarat sebuah tukul besi mengetuk kepala paku. Tepat masuk ke dalam kayu.

Rupanya-rupanya wang bukan sekadar untuk membeli keperluan harian, tetapi terlalu banyak lagi bagi melengkapkan kehidupan sebuah rumah yang dinamakan rumah suami isteri dan anak-anak. Kehendak dan keinginan terpaksa diketepikan.

Baru saya tahu bagaimana nikmatnya makan nasi dan telur goreng dengan minuman air masak bila belanjawan mulai susut.

Namun, itu tetap tidak mengubah pendirian saya untuk menjadi orang kaya. Saya tetap tidak terfikir, "oh alangkah bahagia jika berkahwin dengan orang kaya!"

Saya tetap saya.

Apa yang saya dambakan ialah sebuah keluarga yang sederhana. Cukup dengan keperluan asas walau tiada barang mewah. Saya hanya impikan seorang suami yang setia menemani saya ketika susah dan senang seperti mana taatnya saya walau dia tiada memiliki harta dunia.

Ketika saya lapar, dia juga lapar. Biarlah kami sama-sama lapar.

Kerana apa yang penting bagi saya, bagaimana kesusahan dan kemiskinan itu membuatkan kami lebih menghargai di antara satu sama lain.



No comments:

Post a Comment